Pemahaman
Tips :
(1)Tiga soalan akan dikemukakan berpandukan petikan yang digunakan untuk menjawab Ringkasan.
(2)Soalan (i) dan Soalan (ii) lazimnya berkaitan dengan isi petikan. Sila rujuk petikan untuk mendapatkan jawapan.
(3)Soalan (iii) merupakan soalan terbuka yang memerlukan kemahiran berfikir murid. Jawapan perlu munasabah.
(4)Markah yang diperuntukan ialah 10 markah.
———————————————————————————————————————————————–
Contoh Petikan
Kita sering mendengar beberapa istilah seperti kumpulan perbincangan, study group, study circle, halaqah ataupun usrah. Pada umumnya, kumpulan perbincangan ini merupakan suatu kumpulan kecil individu yang ditubuhkan untuk membincangkan dan bertukar-tukar pendapat tentang perkara-perkara tertentu bagi kepentingan anggota kumpulan tersebut. Aktiviti ini dianggap suatu tradisi meningkatkan ilmu jika perbincangan itu dijalankan secara berkekalan.
Dalam proses memahami bahan-bahan yang kita peroleh daripada buku atau kuliah untuk disusun dalam bentuk lebih kemas, kita memerlukan perbincangan. Kerap kali kita mempunyai pecahan-pecahan ilmu yang terasing atau bahan yang berselerak dan kita tidak dapat mengaitkannya dengan konteks yang sebenarnya. Mungkin pecahan-pecahan yang kita miliki tidak cukup untuk kita kaitkan dan sambungkan sebagai satu kesatuan yang jitu.
Kita memerlukan orang lain untuk memberikan pecahan-pecahan yang tidak kita miliki itu dan menyusunnya sebagaimana isi kandungan itu seharusnya disusun. Tugas itu memerlukan perkongsian pendapat dengan rakan-rakan atau orang yang sama-sama mahu mendapatkan pengetahuan tersebut. Jikalau perbincangan itu disertai oleh orang yang lebih mahir dan pakar, kesan perbincangan itu lebih bermakna.
Apabila kita bekerja dengan orang lain, kadar kepantasan kita akan meningkat. Hal ini demikian kerana adanya unsur-unsur persaingan dan tentulah kita mahu mengemukakan pendapat yang terbaik dan sumbangan yang bermanfaat kepada kumpulan. Dengan demkian kita akan membuat persediaan awal yang bersungguh-sungguh untuk menyayakan perbincangan itu.
Namun begitu, kumpulan perbincangan itu ada juga keburukannya. Bagi sesuatu perkara yang rumit dan memerlukan kebolehan intelektual, perbincangan lebih banyak memberikan gangguan dan akhirnya objektif pembelajaran tidak tercapai.
Contoh Soalan dan Jawapan
Berdasarkan petikan, jawab soalan-soalan berikut.
i. Apakah maksud tradisi meningkatkan ilmu dalam petikan di atas?
Tradisi meningkatkan ilmu dalam petikan di atas bermaksud suatu cara yang sering dilakukan untuk menambahkan pengetahuan seseorang.
ii. Berikan dua cara belajar secara berkumpulan dapat dilakukan?
Dua cara belajar secara berkumpulan dapat dilakukan ialah berbincang dalam satu kumpulan yang disertai oleh orang yang lebih mahir dan pakar dalam aspek yang sedang dibincangkan. Selain itu, mengemukakan pendapat yang bernas dan yang terbaik sebagai tamparan kepada cabaran pengetahuan ahli kumpulan yang lain.
iii. Pada pandangan anda, bagaimanakah cara untuk memberitahu murid tentang kebaikan belajar secara berkumpulan?
Pada pandangan saya, cara untuk memberitahu murid tentang kebaikan belajar secara berkumpulan ialah guru mata pelajaran hendaklah menjelaskan kepada murid bahawa belajar secara berkumpulan akan menyebabkan pelajaran kekal lama dalam ingatan. Pihak sekolah juga boleh mengadakan ceramah tentang cara belajar secara berkumpulan yang efisien. Selain itu, murid yang telah berjaya menggunakan kaedah ini dijadikan murid contoh. Di samping itu, pihak kaunselor hendaklah memberi ceramah motivasi diri dan pengurusan diri untuk menjadi murid yang cemerlang.